Jumaat, 16 Ogos 2013

SYUKURILAH NIKMAT MERDEKA INI

Tangan-tangan durjana itu biarlah terbelengu
mulut-mulut berbisa tidak bermaruah itu terkedu kelu
jerlingan mata liar tunduk mula mengumpul cerita baru
minda-minda celaru kini bersatu membina mercu
hati dan firasat mengembling tinta berpadu

Bersyukurlah kalian anak Malaysia
di bawah panji-panji negara tercinta
melimpah daulat di pentas dunia

Kerana membina negara bukan kerja seorang manusia
jika tanpa setuju
jika tanpa bersatu
jika tanpa berilmu
jika asyik berseteru
jika asyik bersengketa
jika asyik berlipurlara
jika suka berbalah
jika suka perpecah belah
jika suka sumpah seranah
jika suka punah musnah
mungkin negara terbina hancur
mungkin negara tercinta lebur
mungkin negara terkubur dari peta dunia

Syukurilah nikmat merdeka ini
bukan sekadar untuk kita
tetapi cucu cicit kita nanti

Biarlah sejarah yang berbicara
kitalah pembina keamanan
kitalah pembina persefahaman
kitalah pembina ketamadunan
kitalah pembina kesaksamaan
kitalah pembina kekuatan
kitalah pembina kejayaan

Syukurilah nikmat merdeka ini
sedari siapa kita di bumi sendiri
walau siapa datuk moyang
kitalah penghuni Malaysia
kitalah anak bangsa

NUKILAN
MUHAMMAD ZAHIDIL ZAHID